Tuesday, February 1, 2011

SEKOLAH KLUSTER ATAU MENGKLUSTERKAN SEKOLAH?

Isu Sekolah Kluster telah sunyi dan sepi mungkin kerana masing-masing sedang sibuk memastikan gagasan itu berjaya. Warga pendidikan patut bersyukur di atas pelaksanaan gagasan tersebut kerana habuan yang diterima tidak terhitungkan.

Isu yang ingin saya kongsi kali ini ialah seluas mana jangkauan demografi gagasan tersebut. Setakat pembacaan daripada laporan akhbar, saya sudah ambil maklum bahawa kebanyakan sekolah yang mendapat anugerah atatus kluster adalah sekolah-sekolah elit yang demografinya serba hebat dan lengkap sebelum anugerah berkenaan lagi. Demografi yang saya maksudkan adalah lokasinyanya di bandar, pelajarnya terpilih serba cemerlang, kemudahannya serba ada dan sebagainya. Tahniah kepada yang terpilih.

Saya tidak berniat menyanggah arus, tetapi sekadar menyusur di tepian kerana rasanya lebih selamat. Saya sudah lama sedar dan rasa terpanggil untuk membahas isu ini, tetapi bimbang disalahertikan. Namun kini keberanian makin mengukuh dalam hati untuk meluahkan isi rasa melalui perkongsian secara profesional.

Dengan penuh keinsafan dan kecintaan kepada profesion perguruan dan para pelanggan di bilik darjah, maka saya ketengah isu ini. Isunya, sekolah kluster atau mengklusterkan sekolah? Setakat maklumat terbatas yang saya perolehi bahawa semua sekolah kluster yang diwartakan adalah tertegak di atas keberanian warganya memutuskan untuk memohon status berkenaan. Dalam ertikata lain, sekolah yang tidak memenuhi kriteria sudah semestinya mengundur diri dengan penuh sayu dan rendah diri. Sampai bila? Mungkin sampai bila-bila sekolah-sekolah ini bukan tidak dapat merasa diangkat ke status kluster, malah menikmati kelebihannya pun jauh sekali. Saya bersimpati dam empati terhadap mereka. Kasihan para pelanggan dalam bilik darjah.

Justeru itu saya suka mencadangkan agar pihak bertanggungjawab mengklusterkan sekolah yang dipilih secara rawak atau sekolah yang dikenalpasti kecorokan prestasinya. Mungkin demografinya perlu diasingkan. Maksudnya, perlu diklusterkan sebilangan sekolah luar bandar dan bandar, sekolah berasaskan agama (smka & sabk), sekolah berasaskan teknikal, sekolah premier, sekolah rendah dan menengah dan sebagainya. Saya bermaksud bahawa bukan sekolah yang memohon, tetapi pihak kementerian yang memaksakan gagasan kluster itu dilaksanakan di sekolah berkenaan.

Bayangkan jika sebuah sekolah yang bermasalah prestasi diklusterkan. Diangkut seluruh guru cemerlang ke sana, dinobatkan pengetua cemerlang mengetuainya, diperlengkapkan prasarananya setaraf hotel lima bintang, ditaburkan sumber kewangan hingga tiada idea yang tidak dapat dilaksanakan dan diperkasakan kuasa otonomi PIBG dan pengetuanya. Saya dapat bayangkan seluruh sekolah berkenaan akan berubah.

Jika prestasi sekolah itu berubah secara mendadak, maka ia mungkin membawa maksud:
1. Memanglah pengetua itu cemerlang dan hebat atas kakinya sendiri, bukan kerana pelajarnya yang sememangnya pernah menggalas 5A dalam UPSR atau Straight A dalam PMR.
2. Memanglah guru-guru yang dibawa ke sana sangat cemerlang kerana mampu mencendikiawankan pelajar di sekolah tercotrot itu. Bukan kerana pelajarnya yang sememangnya sedia ada mengutamakan pelajaran, cerdik sejak azali atau mahu belajar sejak dilahirkan.
3. Memanglah PIBGnya hebat kerana mampu berfikir di luar kotak politik pejabat sehingga tampil sebagai anggota yang berfikiran saintifik dan berhujah berlandaskan dapatan penyelidikan agar generalisasi yang dikendung mampu tumbuh dengan subur dan mendatangkan manfaat kepada sekolah itu.

Ayuh seluruh warga pendidik, kita ubah senario ini bersama. Kita perlu mengambil iktibar daripada gagasan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad yang telah memaksakan pembangunan sebuah tamadun ke atas belantara Sepang sehingga berubah menjadi sebuah kota kosmopolitan yang serba canggih dan maju dengan pengenalan yang menakjubkan iaitu Putrajaya dan Cyberjaya.

Itulah pandangan awal saya. Anda bagaimana? Mari kita berkongsi.