Wednesday, January 12, 2011

BEBAN KERJA RUMAH YANG KURANG BERMAKNA

Assalamualaikum seluruh warga pendidik dan salam sejahtera.

Pada kesempatan kali ini saya suka membangkitkan isu beban kerja rumah yang kurang bermakna kepada para pelajar. Saya telah membuat pemerhatian kepada anak-anak saya yang sering kali menghabiskan masa mereka menyelesaikan kerja rumah sehingga larut malam. Saya kadang-kadang membantah dalam hati tentang kerja buat rakan pendidik yang mendidik anak-anak saya. Walaupun begitu saya tetap menghargai dan berterima kasih di atas segala jasa yang dicurahkan sehingga menjamin kejayaan anak-anak saya.

Kesempatan kali ini saya manfaat untuk perkongsian secara profesional berdasarkan pandangan saya sendiri. Beban kerja yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

1. Beban kerja yang diberikan kepada para pelajar tanpa sebarang penyelarasan. Saya maksudkan di sini bahawa jika lima guru mengajar pada sesuatu hari, maka kesemuanya memberikan tugasan atau kerja rumah kepada para pelajar. Para pelajar pula tidak mempunyai kesempatan untuk menyelesaikannya pada waktu siang kerana terpaksa hadir ke sekolah pada sesi petang dengan pelbagai aktiviti. Oleh itu mereka telah terpaksa menggunakan masa yang tidak berkualiti pada waktu malam untuk menyelesaikan kerja rumah yang diterima. Saya maksudkan masa tidak berkualiti kerana pada masa berkenaan pelajar sedang dalam keadaan sangat keletihan, terlalu tenat. Akhirnya tidak banyak yang mereka belajar dari tugasan tersebutdan kurang bermakna buat mereka. Saya suka mencadangkan agar pihak sekolah menyelaraskan agihan tugasan mengikut hari dan mengikut mata pelajaran. Saya mencadangkan para pelajar diberi masa merehatkan minda dan mengumpul semula ke otak mereka untuk memulakan hari esok yang lebih bermakna kepada pembelajaran mereka.

2. Beban kerja yang diberikan kepada pelajar kebanyakannya tanpa mengambil kira aras kognitif pembelajaran pelajar. Terdapat tugasan yang diarahkan hanya sekadar memindahkan teks yang terdapat dalam buku teks ke dalam buku nota pelajar seumpama fotokopi. Saya sering bergurau dengan anak-anak bahawa selepas tamat persekolahan kita akan hantar kepada penerbit untuk dicetak sebagai buku nota ulangkaji. Betapa tidak mencabarnya tugasan yang diberikan oleh guru. Kemungkinan tugasan tersebut sekadar memenuhi tuntutan sasaran pihak pentadbiran sekolah. Kerja menyalin sebenarnya langsung tidak mencabar minda pelajar. Saya suka mencadangkan agar para pelajar diberi tugasan memindahkan teks dalam buku teks ke dalam buku nota mereka dengan bentuk yang berbeza seperti peta minda dan sebagainya.

3. Beban kerja menyalin dendaan yang keterlaluan. Kedapatan pelajar yang gagal menjawab mana-mana soalan dan diarahkan guru untuk menyalin semula soalan tersebut berserta jawapan yang diberi sebanyak 100 kali. Sebenar dendaan tersebut sia-sia belaka kerana pelajar menyalin tanpa mengambil iktibar atau mempelajari apa-apa daripada kesalahan mereka. Apa yang mereka faham ialah guru marah kerana mereka gagal. Guru macam berdendam dengan pelajar yang gagal dan bukan ingin membantu. Sikap negatif ini menjadikan kita tidak profesional dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik. Jika beberapa orang guru berbuat demikian, maka pelajar akan menghabiskan sebahagian besar masa dengan kerja kurang bermanfaat sehingga keletihan. Akhirnya mereka hadir ke sekolah dalam keadaan terlalu mengantuk dan masa pembelajaran mereka langsung tidak berkualiti. Akhirnya prestasi mereka semakin merosot. Pelajar menjadu kurang berminat ke sekolah. Saya suka mencadangkan agar guru menyediakan beberapa soalan yang mirip kepada soalan yang gagal dijawan untuk diselesaikan oleh pelajar. Saya berpandangan ia lebih bermakna daripada perbuatan menyalin.

4. Kedapatan beban kerja rumah yang diberikan kepada pelajar sekadar melepaskan batuk di tangga. Kedapatan tugasan yang diterima oleh pelajar hanya menghendaki mereka menjawab beberapa soalan latihan yang terdapat dalam buku teks dan jawapannya juga terdapat dalam buku berkenaan juga. Apa maknanya dari segi proses pembelajaran para pelajar? Lebih malang lagi apabila guru yang menyemak hanya menanda di setiap hujung muka surat buku latihan tanpa menanda isi jawapan yang tepat di dalam teks jawapan pelajar. Saya suka mencadangkan supaya guru menggubal sendiri soalan untuk diberikan kepada para pelajar sebagai kerja rumah biarpun hanya satu soalan, tetapi sangat mencabar minda pelajar. Tiada gunanya memberikan soalan yang banyak, tetapi jawapannya tersedia.

5. Beban kerja yang diberikan kepada pelajar hanya sekadar memenuhi keperluan senarai semak piawai kualiti kerja. Pokoknya, ada kerja yang diberikan kepada pelajar. Tugasan yang diberikan sekira-kira tidak perlu disemak dengan teliti kerana ia sekadar duplikasi semata. Apalah maknanya kepada para pelajar? Adakah kita telah membimbing mereka dengan pemeriksaan yang tidak berkesan. Saya mencadangkan agar guru memperuntukkan masa untuk memberi bimbingan kepada pelajar seorang demi seorang semasa sesi pengajaran & Pembelajaran. Tentukan masa khusus untuk aktiviti ini. Daripada sejumlah enam masa seminggu, mungkin dua masa digunakan untuk pendekatan ini. Maka tidak perlu kepada kerja rumah.

Semoga cetusan minda ini dapat mengheret kita untuk sama-sama berfikir secara profesional tentang tanggungjawab mendidik yang diamanahkan kepada kita. Selamat maju jaya seluruh warga pendidik.