Saturday, November 13, 2010

PEMBANGUNAN KERJAYA

Sejarah segalanya bermula ketika saya mula menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada zaman itu kita boleh memohon pelbagai biasiswa yang memungkinkan kita juga ditawarkan lebih daripada satu biasiswa jika berjaya dalam temuduga. Ringkasnya, saya berjaya memperoleh dua tawaran dermasiswa (perlu dilunaskan dengan tujuh tahun perkhidmatan dalam kerajaan) iaitu Dermasiswa Perguruan dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Walaupun begitu calon hanya dibenarkan menerima salah satu sahaja. Oleh sebab itu saya mesti membuat keputusan untuk memilih. Saya memilih dermasiswa perguruan dengan pertimbangan bahawa:
1. Saya ingin berkhidmat dan memberi sumbangan manabur ilmu sebagai guru.
2. Saya masih berpeluang berkhidmat sebagai pentadbir sama ada peringkat sekolah, PPD atau JPN.
3. Ilmu yang disampaikan akan menjadi ibadat dan memperolehi pahala berterusan.
4. Kehidupan berilmu akan berterusan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Setelah beberapa tahun berkhidmat sebagai guru, maka saya telah memperkukuhlkan visi laluan kerjaya saya sebagai:
1. Guru Cemerlang
2. Pengetua Cemerlang
3. Pensyarah Cemerlang

Setelah visi ini dimantapkan, maka saya telah membina beberapa premis untuk memperkukuhkan hasrat agar dapat direalisasi sepenuhnya. Premis-premis tersebut ialah:
1. Melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.
2. Mendokumentasikan semua hasil kerja.
3. Menerbitkan sumber rujukan.
4. Menghasilkan kajian-kajian, membentang dan menerbitkannya.

Pada tahun 1994, saya mula menjawat jawatan dalam pentadbiran sekolah sebagai Guru Tugas Tambahan Kokurikulum (Gelaran di sekolah: Penolong Kanan Kokurikulum). Seronoknya bukan kepalang kerana dalam usia 33 tahun sudah menjadi pentadbir. Semangat itu ditambah lagi dengan kejayaan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang pengurusan di Universiti Utara Malaysia. Suatu perkongsian ilmu yang sangat bermakna.

Setelah menamatkan pengajian, saya kembali bertugas di sekolah dan berterusan diberikan tanggungjawab sebagai pentadbir. Bintang nampaknya semacam sentiasa bersinar kerana setiap kali ada perubahan perjawatan dan skim perkhidmatan, maka saya antara tersenarai untuk menerima peluang berkenaan. Lalu saya mengukuhkan visi untuk menjadi pengetua seawal tahun 2010 pada usia 47 tahun dan akan diikuti dengan pengetua cemerlang jika ada rezeki. Masih boleh dikatakan muda dan bertenaga serta belum disinggahi penyakit kronik. Insya Allah.

Saya merujuk senario perlantikan golongan muda oleh kerajaan untuk menyelamatkan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) iaitu Che Khalib (44 Tahun) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TNB, En. Wahid (41 tahun) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Telekom dan Datuk Idris Jala (47 tahun) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS. Saya mengharapkan rahmat ini melimpah ke dalam dunia pendidikan.

Dunia pendidikan berjalan terus, jangkaan saya silap. Rupanya dalam dunia pendidikan ketuaan umur lebih diambil kira daripada ilmu dan prestasi kerja. Beberapa kes rujukan menjadi panduan saya. Justeru itu saya tidak kecewa dengan perkembangan ini kerana saya masih mempunyai pilihan laluan kerjaya. Saya beralih kepada laluan Guru Cemerlang. Malangnya kedudukan saya berjawatan hakiki di sekolah sebagai pentadbir sedikit menggugat hasrat itu. Oleh sebab itu saya segera merebut peluang yang dibuka oleh IPG dalam proses menaiktaraf maktab perguruan berbekalkan syarat minima memiliki ijazah sarjana.

Saya memulakan kerjaya sebagai pensyarah IPG pada tahun 2007 dengan visi seterusnya iaitu Guru Cemerlang (Pensyarah Cemerlang). Rezeki terus menyapa pada tahun 2008 apabila dilantik ke gred DG48. Pada tahun 2010 saya terus memohon Guru Cemerlang Gred DG52. Alhamdulillah pada 10 November 2010 saya telah menerima surat tawaran pemangkuan Guru Cemerlang Gred DG52 yang berkuatkuasa mulai 24 Ogos 2010.

Moralnya dalam kisah saya ialah:
1. Pembangunan kerjaya mesti disasarkan kepada lebih daripada satu matlamat akhir kerjaya.
2. Pembangunan premis untuk laluan kerjaya mesti dimulakan seawal mungkin dan berterusan dengan komitmen yang optima.
3. Elak berputus asas dan menyerah kalah serta menyalahkan pertimbangan orang lain.
4. Yakin dengan rezeki Allah.

Semoga coretan ini dapat dijadikan panduan kepada seluruh warga pendidikan terutama generasi muda.