Wednesday, August 24, 2011

GURU CEMERLANG

Salam semua warga pendidikan.  Di sini saya ambil kesempatan untuk memberi respon kepada pertanyaan beberapa orang guru pelatih yang berminat dengan kerjaya sebagai Guru Cemerlang.  Tahniah, kerana berminat dengan laluan pantas sebagai Guru Cemerlang.  Berikut ini saya akan mengemukakan beberapa panduan untuk membina kerjaya dalam profesion tersebut.


Pertama: Sediakan portfolio peribadi.  Di sekolah, amalan ini tidak dibuat oleh kebanyakan guru.  Oleh sebab itu ia merupakan kelebihan persaingan dalam kalangan guru.  Portfolio ini boleh dibina dalam beberapa fail yang berbeza.  1. Portfolio peribadi yang mungkin mengandungi semua butiran peribadi dan salinan yang berkaitan seperti salinan surat beranak, kad pengenalan, sijil kelayakan akademik, sijil kelayakan ikhtisas. 2. Portfolio pentadbiran yang mungkin mengandungi surat-surat lantikan, surat panggilan dan minit mesyuarat. 3. Porfolio bahan pengajaran yang mungkin mengandungi salinan sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, buku panduan guru, rancangan tahunan atau semester, bank soalan untuk tahun berkenaan, bahan bantu mengajar yang dibina sendiri, modul dan sebagainya.  Portfolio 1 adalah tetap dan jarang berubah ( tidak perlu tebaal ) berbanding portfolio 2 dan 3.

Kedua: Dokumentasi. aspek ini sangat tidak menjadi fokus kebanyakan guru.  Semua program yang dibuat mesti didokumentasikan.  Setiap dokumentasi mesti dicatatkan footnote dengan nama sendiri untuk mengelak daripada plagiat hak cipta.  Semua dokumentasi mesti ditunjukkan kepada guru besar atau pengetua untuk disemak dan disahkan. Satu salinan disimpan dan satu lagi diserah kepada pihak sekolah. Dokumentasi program mesti mengandungi 1. kertas cadangan, 2. laporan pelaksanaan yang perlu diulas semua aspek yang terkandung di dalamnya terutama aspek kecapaian objektif 3. surat menyurat yang digunakan sepanjang mengelola program 4. laporan muhasabah (postmortem) setiap jawatankuasa, 5. cadangan penambahbaikan pada masa akan datang, 5. gambar-gambar berkaitan program.

Ketiga: Guru Cemerlang mesti work smart dan kurangkan work hard.  Antara pendekatan yang sering saya gunakan ialah aplikasi perisian komputer secara bersepadu untuk menghasil produk yang berbeza daripada sumber data yang sama.  Selalunya saya menggunakan perisian MS Excel sebagai pengkalan data, kemudian dimerge ke MS doc untuk mengeluarkan surat lantikan jawatankuasa dan sijil penghargaan.  Kemudian dimerge pula dengan MS Access untuk menghasilkan senarai jawatankuasa penuh yang tersusun mengikut kehendak kita. Data ini seterusnya dieksport ke SPSS untuk keperluan analisis data (jika berkaitan).

Keempat: Penyelidikan.  Bidang ini sangat tidak digemari oleh kebanyakan warga pendidikan.  Ini suatu kelebihan yang sangat nyata.  Tidak perlu bersusah payah dengan penyelidikan konvensional, tetapi beri tumpuan kepada penyelidikan tindakan.  Penyelidikan tindakan tidak memberatkan penyelidik dengan teori-teori sokongan. Di sekolah terlalu banyak pembaziran data yang tidak dianalisis secara bermakna.  Tidak kira apa bidang kajian, asalkan terdapat data dan kita berminat.

Kelima: Penulisan. Bidang ini juga tidak diberi perhatian oleh kebanyakan orang.  Ambillah masa untuk mengarang sekurang-kurangnya rencana di akhbar.  Jika mampu hasilkan penulisan dalam bentuk buku.  Banyak penerbit dahagakan sumbangan para pengarang.

Keenam: Susunan bahan dalam fail mengikut kronologi.  Bahan-bahan yang dimaksudkan ialah sijil-sijil kelayakan akademik yang bernula daripada UPSR hingga ijazah tertinggi, surat-surat lantikan rasmi, sijil-sijil menghadiri kursus dan sijil-sijil penghargaan.

Ketujuh: Penghasilan modul. Penghasilan modul pengajaran dan pembelajaran sangat penting penting terutama yang berasaskan dapatan kajian tindakan kerana ia telah diuji keberkesanannya.

Kelapan: Wujudkan platform perkongsian maya yang boleh diakses oleh masyarakat terutama kumpulan sasaran kita.  Contohnya, bina laman sesawang sendiri atau aplikasi blog-blog yang sedia ada di alam maya.  Khususkan emel tertentu untuk interaksi dengan kumpulan sasaran. Semua emel itu dicetak dan difailkan sebagai bahan bukti interaksi maya dengan khalayak.

Buat masa ini, ini panduan yang saya terfikir untuk dikongsi.  Insya Allah saya akan kemaskini post ini dari semasa ke semasa berdasarkan luapan idea.