Wednesday, August 24, 2011

GURU CEMERLANG

Salam semua warga pendidikan.  Di sini saya ambil kesempatan untuk memberi respon kepada pertanyaan beberapa orang guru pelatih yang berminat dengan kerjaya sebagai Guru Cemerlang.  Tahniah, kerana berminat dengan laluan pantas sebagai Guru Cemerlang.  Berikut ini saya akan mengemukakan beberapa panduan untuk membina kerjaya dalam profesion tersebut.


Pertama: Sediakan portfolio peribadi.  Di sekolah, amalan ini tidak dibuat oleh kebanyakan guru.  Oleh sebab itu ia merupakan kelebihan persaingan dalam kalangan guru.  Portfolio ini boleh dibina dalam beberapa fail yang berbeza.  1. Portfolio peribadi yang mungkin mengandungi semua butiran peribadi dan salinan yang berkaitan seperti salinan surat beranak, kad pengenalan, sijil kelayakan akademik, sijil kelayakan ikhtisas. 2. Portfolio pentadbiran yang mungkin mengandungi surat-surat lantikan, surat panggilan dan minit mesyuarat. 3. Porfolio bahan pengajaran yang mungkin mengandungi salinan sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, buku panduan guru, rancangan tahunan atau semester, bank soalan untuk tahun berkenaan, bahan bantu mengajar yang dibina sendiri, modul dan sebagainya.  Portfolio 1 adalah tetap dan jarang berubah ( tidak perlu tebaal ) berbanding portfolio 2 dan 3.

Kedua: Dokumentasi. aspek ini sangat tidak menjadi fokus kebanyakan guru.  Semua program yang dibuat mesti didokumentasikan.  Setiap dokumentasi mesti dicatatkan footnote dengan nama sendiri untuk mengelak daripada plagiat hak cipta.  Semua dokumentasi mesti ditunjukkan kepada guru besar atau pengetua untuk disemak dan disahkan. Satu salinan disimpan dan satu lagi diserah kepada pihak sekolah. Dokumentasi program mesti mengandungi 1. kertas cadangan, 2. laporan pelaksanaan yang perlu diulas semua aspek yang terkandung di dalamnya terutama aspek kecapaian objektif 3. surat menyurat yang digunakan sepanjang mengelola program 4. laporan muhasabah (postmortem) setiap jawatankuasa, 5. cadangan penambahbaikan pada masa akan datang, 5. gambar-gambar berkaitan program.

Ketiga: Guru Cemerlang mesti work smart dan kurangkan work hard.  Antara pendekatan yang sering saya gunakan ialah aplikasi perisian komputer secara bersepadu untuk menghasil produk yang berbeza daripada sumber data yang sama.  Selalunya saya menggunakan perisian MS Excel sebagai pengkalan data, kemudian dimerge ke MS doc untuk mengeluarkan surat lantikan jawatankuasa dan sijil penghargaan.  Kemudian dimerge pula dengan MS Access untuk menghasilkan senarai jawatankuasa penuh yang tersusun mengikut kehendak kita. Data ini seterusnya dieksport ke SPSS untuk keperluan analisis data (jika berkaitan).

Keempat: Penyelidikan.  Bidang ini sangat tidak digemari oleh kebanyakan warga pendidikan.  Ini suatu kelebihan yang sangat nyata.  Tidak perlu bersusah payah dengan penyelidikan konvensional, tetapi beri tumpuan kepada penyelidikan tindakan.  Penyelidikan tindakan tidak memberatkan penyelidik dengan teori-teori sokongan. Di sekolah terlalu banyak pembaziran data yang tidak dianalisis secara bermakna.  Tidak kira apa bidang kajian, asalkan terdapat data dan kita berminat.

Kelima: Penulisan. Bidang ini juga tidak diberi perhatian oleh kebanyakan orang.  Ambillah masa untuk mengarang sekurang-kurangnya rencana di akhbar.  Jika mampu hasilkan penulisan dalam bentuk buku.  Banyak penerbit dahagakan sumbangan para pengarang.

Keenam: Susunan bahan dalam fail mengikut kronologi.  Bahan-bahan yang dimaksudkan ialah sijil-sijil kelayakan akademik yang bernula daripada UPSR hingga ijazah tertinggi, surat-surat lantikan rasmi, sijil-sijil menghadiri kursus dan sijil-sijil penghargaan.

Ketujuh: Penghasilan modul. Penghasilan modul pengajaran dan pembelajaran sangat penting penting terutama yang berasaskan dapatan kajian tindakan kerana ia telah diuji keberkesanannya.

Kelapan: Wujudkan platform perkongsian maya yang boleh diakses oleh masyarakat terutama kumpulan sasaran kita.  Contohnya, bina laman sesawang sendiri atau aplikasi blog-blog yang sedia ada di alam maya.  Khususkan emel tertentu untuk interaksi dengan kumpulan sasaran. Semua emel itu dicetak dan difailkan sebagai bahan bukti interaksi maya dengan khalayak.

Buat masa ini, ini panduan yang saya terfikir untuk dikongsi.  Insya Allah saya akan kemaskini post ini dari semasa ke semasa berdasarkan luapan idea.

Tuesday, April 12, 2011

YURAN ATAU YOU RUN

Salam buat para pendidik yang mereka yang berminat dengan profesion ini. Terima kasih buat para pengunjung yang sudi singgah menjengah warong isu keguruan dan pendidikan ini.


Kali ini, saya suka berkongsi dengan anda tentang ketegaran pihak sekolah mematuhi tuntutan masyarakat agar menyemak semula kadar yuran yang dikenakan terhadap para pelajar.


Baru-baru ini saya agak sibuk mengurus kemasukan anak ke sekolah berasrama. Banyak wang dicurahkan untuk pelajaran mereka sebagai melaksanakan amanah Allah SWT. Perbelanjaan melibatkan pembelian pakaian, peralatan dan yuran. Sangat menarik perhatian saya ialah soal yuran sekolah dan asrama. Perbincangan dengan para waris dalam waktu senggang menungggu selesai pendaftaran anak-anak telah menyentuh hati kecil saya yang dulunya juga salah seorang pentadbir sekolah. Waris A kelihatan muran dan murung memerhati perbincangan para waris. Lama kelamaan dia ikut bersuara katanya dia hampir dimalukan semasa membayar yuran anak di sebuah sekolah asrama. Katanya...ingatkan sudah dibayar secara online, maka tiada lagi yuran lain, tetapi bila tiba di kaunter pendaftaran terpaksa bayar pulan yuran koperasi sebanyak RM 150 dan yuran PIBG RM 150... Jumlahnya RM 300. Jika ditambah dengan pembayaran secara online RM 300, maka Jumlah Keseluruhan yuran kena dibayar ialah RM 600 untuk seorang anak. Belumpun diambilkira pembaziran kerana pembelian pakain untuk sekolah menengah biasa yang tidak boleh dipakai di sekolah baru. Pakaian terpaksa dibeli kerana pendaftaran di sekolah baru diberitahu lewat dan kemasukannya lewat sebulan daripada sekolah biasa. Buang duit untuk dua pasang yang sekurang-kurang melibatkan sejumlah wang RM 160. Nasib baiklah semalam kutip duit tabung anak dan pinjam daripada anak yang sudah bekerja di sebuah kilang, kononnya untuk bekalan kecemasan. Rupanya memang cemas.


Waris B pula bercerita sambil mengeluarkan senarai yuran untuk anaknya di sebuah sekolah berasrama lain pula. Dikeluarkan senarai yuran untuk tatap para waris... saya ambik dan mohon memilikinya untuk tujuan perkongsian dengan para pengunjung blog saya. Saya perturunkan senarai yuran itu di sini:


Lampiran A


ALATAN KEPERLUAN SEKOLAH DAN ASRAMA

(PERALATAN BERIKUT WAJIB DIBELI DI KOPERASI SEKOLAH UNTUK KESERAGAMAN)


Track bottom RM 22.00 Baju sukan RM 32.00 T shirt putih RM 11.00 Kain tudung (2 helai) RM 51.00 Lencana sekolah RM 2.00 Buku peraturan sekolah RM 3.00 Buku PSKPPK 80 hal RM 3.00 Buku MSSD RM 3.50 Buku MSSK RM 3.50 Buku Nilam RM 1.00 Buku PAFA RM 3.00 Pensil PSKPPK RM 1.00 Tali leher Tanda nama RM 5.00 Keahlian & saham koperasi RM 5.00 Kamus Bahasa Inggeris RM 45.00

JUMLAH UNTUK PELAJAR PEREMPUAN RM 191.00


ALATAN ASRAMA (juga di bawah tajuk WAJIB DIBELI DI KOOP SEKOLAH)


Kain selimut RM 26.00 Cadar sarung bantal 21.00 Sarung tilam 21.00 Sampin Baju batik sekolah 65.00 Kad keluar masuk 1.50 Kopiah putih Baju prep 30.00

JUMLAH UNTUK PELAJAR PEREMPUAN RM 355


KUITIPAN PIBG SEKOLAH


Derma PIBG RM 10.00 Kelas Fardhu Ain RM 25.00 Kelas Peningkatan akademik RM 40.00 Majalah sekolah RM 12.00 Dobi RM 100.00 Komputer PIBG RM 15.00 Kelas komputer sekolah RM 15.00 Derma kebajikan RM 33.00 Taqwim RM 4.00 Kertas peperiksaan RM 10.00 Tuisyen RM 50.00

JUMLAH KESELURUHAN RM 314.00


BAYARAN TAMBAHAN SEKOLAH BAGI TAHUN 2011


Kokurikulum RM 10.00 Kertas ujian dalaman RM 15.00 Sukan tahunan sekolah RM 10.00 Kegiatan Pendidikan Islam RM 10.00 Skim perlindungan diri RM 1.50 MSSM RM 4.00

JUMLAH KESELURUHAN RM 50.50


YURAN MAKAN DI ASRAMA ( WAJIB DIBAYAR SEMASA PENDAFTARAN)


Yuran makan RM 30.00/bulan (RM 300.00/tahun) Yuran kebajikan RM 10.00 Pengangkutan (Putera)

JUMLAH BAGI PELAJAR PEREMPUAN RM 40.00/bulan (RM 400.00/tahun)


LAIN BAYARAN KEPADA PIHAK ASRAMA


Buku pendaftaran RM 5.00 Buku merah RM 3.00 Profil pelajar RM 2.00 Mangga solex RM 16.00 Plastik pembalut buku merah RM 4.00

JUMLAH RM 30.00


JUMLAH BESAR= RM 191.00 + RM 355.00 + RM 314.00 + RM 50.50 + RM 40.00 + RM 30.00========= RM 980.00 ATAU RM 1340 (Termasuk bayaran makan di asrama untuk setahun).


TIBA-TIBA SAYA MENJADI TERLALU INSAF DAN MENITIS AIR MATA MENGENANGKAN BEBAN YANG SELAMA INI DIRAUNGKAN OLEH PARA WARIS. ITUPUN TIDAK TERMASUK KOS YANG TERPAKSA DITANGGUNG OLEH WARIS SENDIRI SEPERTI SENARAI BERIKUT:



  1. Baju kurung putih lengan bercekak (2 helai)


  2. Kain sarung wanita warna biru sekolah menengah (2helai)


  3. Kasut hitam bertali (2 pasang)


  4. Stokin putih (2 pasang)


  5. Pakain uniform kokurikulum (1 pasang)

YA ALLAH, MASYA ALLAH.


MUNGKIN KERANA YURAN INI, MAKA RAMAI PELAJAR YOU RUN. TERUSKAN PELAJARAN DI SEKOLAH MENENGAH BIASA. KESIAN MEREKA YANG SERBA KEKURANGAN.


RENUNG-RENUNGKANLAH.

Tuesday, February 1, 2011

SEKOLAH KLUSTER ATAU MENGKLUSTERKAN SEKOLAH?

Isu Sekolah Kluster telah sunyi dan sepi mungkin kerana masing-masing sedang sibuk memastikan gagasan itu berjaya. Warga pendidikan patut bersyukur di atas pelaksanaan gagasan tersebut kerana habuan yang diterima tidak terhitungkan.

Isu yang ingin saya kongsi kali ini ialah seluas mana jangkauan demografi gagasan tersebut. Setakat pembacaan daripada laporan akhbar, saya sudah ambil maklum bahawa kebanyakan sekolah yang mendapat anugerah atatus kluster adalah sekolah-sekolah elit yang demografinya serba hebat dan lengkap sebelum anugerah berkenaan lagi. Demografi yang saya maksudkan adalah lokasinyanya di bandar, pelajarnya terpilih serba cemerlang, kemudahannya serba ada dan sebagainya. Tahniah kepada yang terpilih.

Saya tidak berniat menyanggah arus, tetapi sekadar menyusur di tepian kerana rasanya lebih selamat. Saya sudah lama sedar dan rasa terpanggil untuk membahas isu ini, tetapi bimbang disalahertikan. Namun kini keberanian makin mengukuh dalam hati untuk meluahkan isi rasa melalui perkongsian secara profesional.

Dengan penuh keinsafan dan kecintaan kepada profesion perguruan dan para pelanggan di bilik darjah, maka saya ketengah isu ini. Isunya, sekolah kluster atau mengklusterkan sekolah? Setakat maklumat terbatas yang saya perolehi bahawa semua sekolah kluster yang diwartakan adalah tertegak di atas keberanian warganya memutuskan untuk memohon status berkenaan. Dalam ertikata lain, sekolah yang tidak memenuhi kriteria sudah semestinya mengundur diri dengan penuh sayu dan rendah diri. Sampai bila? Mungkin sampai bila-bila sekolah-sekolah ini bukan tidak dapat merasa diangkat ke status kluster, malah menikmati kelebihannya pun jauh sekali. Saya bersimpati dam empati terhadap mereka. Kasihan para pelanggan dalam bilik darjah.

Justeru itu saya suka mencadangkan agar pihak bertanggungjawab mengklusterkan sekolah yang dipilih secara rawak atau sekolah yang dikenalpasti kecorokan prestasinya. Mungkin demografinya perlu diasingkan. Maksudnya, perlu diklusterkan sebilangan sekolah luar bandar dan bandar, sekolah berasaskan agama (smka & sabk), sekolah berasaskan teknikal, sekolah premier, sekolah rendah dan menengah dan sebagainya. Saya bermaksud bahawa bukan sekolah yang memohon, tetapi pihak kementerian yang memaksakan gagasan kluster itu dilaksanakan di sekolah berkenaan.

Bayangkan jika sebuah sekolah yang bermasalah prestasi diklusterkan. Diangkut seluruh guru cemerlang ke sana, dinobatkan pengetua cemerlang mengetuainya, diperlengkapkan prasarananya setaraf hotel lima bintang, ditaburkan sumber kewangan hingga tiada idea yang tidak dapat dilaksanakan dan diperkasakan kuasa otonomi PIBG dan pengetuanya. Saya dapat bayangkan seluruh sekolah berkenaan akan berubah.

Jika prestasi sekolah itu berubah secara mendadak, maka ia mungkin membawa maksud:
1. Memanglah pengetua itu cemerlang dan hebat atas kakinya sendiri, bukan kerana pelajarnya yang sememangnya pernah menggalas 5A dalam UPSR atau Straight A dalam PMR.
2. Memanglah guru-guru yang dibawa ke sana sangat cemerlang kerana mampu mencendikiawankan pelajar di sekolah tercotrot itu. Bukan kerana pelajarnya yang sememangnya sedia ada mengutamakan pelajaran, cerdik sejak azali atau mahu belajar sejak dilahirkan.
3. Memanglah PIBGnya hebat kerana mampu berfikir di luar kotak politik pejabat sehingga tampil sebagai anggota yang berfikiran saintifik dan berhujah berlandaskan dapatan penyelidikan agar generalisasi yang dikendung mampu tumbuh dengan subur dan mendatangkan manfaat kepada sekolah itu.

Ayuh seluruh warga pendidik, kita ubah senario ini bersama. Kita perlu mengambil iktibar daripada gagasan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad yang telah memaksakan pembangunan sebuah tamadun ke atas belantara Sepang sehingga berubah menjadi sebuah kota kosmopolitan yang serba canggih dan maju dengan pengenalan yang menakjubkan iaitu Putrajaya dan Cyberjaya.

Itulah pandangan awal saya. Anda bagaimana? Mari kita berkongsi.

Wednesday, January 12, 2011

BEBAN KERJA RUMAH YANG KURANG BERMAKNA

Assalamualaikum seluruh warga pendidik dan salam sejahtera.

Pada kesempatan kali ini saya suka membangkitkan isu beban kerja rumah yang kurang bermakna kepada para pelajar. Saya telah membuat pemerhatian kepada anak-anak saya yang sering kali menghabiskan masa mereka menyelesaikan kerja rumah sehingga larut malam. Saya kadang-kadang membantah dalam hati tentang kerja buat rakan pendidik yang mendidik anak-anak saya. Walaupun begitu saya tetap menghargai dan berterima kasih di atas segala jasa yang dicurahkan sehingga menjamin kejayaan anak-anak saya.

Kesempatan kali ini saya manfaat untuk perkongsian secara profesional berdasarkan pandangan saya sendiri. Beban kerja yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

1. Beban kerja yang diberikan kepada para pelajar tanpa sebarang penyelarasan. Saya maksudkan di sini bahawa jika lima guru mengajar pada sesuatu hari, maka kesemuanya memberikan tugasan atau kerja rumah kepada para pelajar. Para pelajar pula tidak mempunyai kesempatan untuk menyelesaikannya pada waktu siang kerana terpaksa hadir ke sekolah pada sesi petang dengan pelbagai aktiviti. Oleh itu mereka telah terpaksa menggunakan masa yang tidak berkualiti pada waktu malam untuk menyelesaikan kerja rumah yang diterima. Saya maksudkan masa tidak berkualiti kerana pada masa berkenaan pelajar sedang dalam keadaan sangat keletihan, terlalu tenat. Akhirnya tidak banyak yang mereka belajar dari tugasan tersebutdan kurang bermakna buat mereka. Saya suka mencadangkan agar pihak sekolah menyelaraskan agihan tugasan mengikut hari dan mengikut mata pelajaran. Saya mencadangkan para pelajar diberi masa merehatkan minda dan mengumpul semula ke otak mereka untuk memulakan hari esok yang lebih bermakna kepada pembelajaran mereka.

2. Beban kerja yang diberikan kepada pelajar kebanyakannya tanpa mengambil kira aras kognitif pembelajaran pelajar. Terdapat tugasan yang diarahkan hanya sekadar memindahkan teks yang terdapat dalam buku teks ke dalam buku nota pelajar seumpama fotokopi. Saya sering bergurau dengan anak-anak bahawa selepas tamat persekolahan kita akan hantar kepada penerbit untuk dicetak sebagai buku nota ulangkaji. Betapa tidak mencabarnya tugasan yang diberikan oleh guru. Kemungkinan tugasan tersebut sekadar memenuhi tuntutan sasaran pihak pentadbiran sekolah. Kerja menyalin sebenarnya langsung tidak mencabar minda pelajar. Saya suka mencadangkan agar para pelajar diberi tugasan memindahkan teks dalam buku teks ke dalam buku nota mereka dengan bentuk yang berbeza seperti peta minda dan sebagainya.

3. Beban kerja menyalin dendaan yang keterlaluan. Kedapatan pelajar yang gagal menjawab mana-mana soalan dan diarahkan guru untuk menyalin semula soalan tersebut berserta jawapan yang diberi sebanyak 100 kali. Sebenar dendaan tersebut sia-sia belaka kerana pelajar menyalin tanpa mengambil iktibar atau mempelajari apa-apa daripada kesalahan mereka. Apa yang mereka faham ialah guru marah kerana mereka gagal. Guru macam berdendam dengan pelajar yang gagal dan bukan ingin membantu. Sikap negatif ini menjadikan kita tidak profesional dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik. Jika beberapa orang guru berbuat demikian, maka pelajar akan menghabiskan sebahagian besar masa dengan kerja kurang bermanfaat sehingga keletihan. Akhirnya mereka hadir ke sekolah dalam keadaan terlalu mengantuk dan masa pembelajaran mereka langsung tidak berkualiti. Akhirnya prestasi mereka semakin merosot. Pelajar menjadu kurang berminat ke sekolah. Saya suka mencadangkan agar guru menyediakan beberapa soalan yang mirip kepada soalan yang gagal dijawan untuk diselesaikan oleh pelajar. Saya berpandangan ia lebih bermakna daripada perbuatan menyalin.

4. Kedapatan beban kerja rumah yang diberikan kepada pelajar sekadar melepaskan batuk di tangga. Kedapatan tugasan yang diterima oleh pelajar hanya menghendaki mereka menjawab beberapa soalan latihan yang terdapat dalam buku teks dan jawapannya juga terdapat dalam buku berkenaan juga. Apa maknanya dari segi proses pembelajaran para pelajar? Lebih malang lagi apabila guru yang menyemak hanya menanda di setiap hujung muka surat buku latihan tanpa menanda isi jawapan yang tepat di dalam teks jawapan pelajar. Saya suka mencadangkan supaya guru menggubal sendiri soalan untuk diberikan kepada para pelajar sebagai kerja rumah biarpun hanya satu soalan, tetapi sangat mencabar minda pelajar. Tiada gunanya memberikan soalan yang banyak, tetapi jawapannya tersedia.

5. Beban kerja yang diberikan kepada pelajar hanya sekadar memenuhi keperluan senarai semak piawai kualiti kerja. Pokoknya, ada kerja yang diberikan kepada pelajar. Tugasan yang diberikan sekira-kira tidak perlu disemak dengan teliti kerana ia sekadar duplikasi semata. Apalah maknanya kepada para pelajar? Adakah kita telah membimbing mereka dengan pemeriksaan yang tidak berkesan. Saya mencadangkan agar guru memperuntukkan masa untuk memberi bimbingan kepada pelajar seorang demi seorang semasa sesi pengajaran & Pembelajaran. Tentukan masa khusus untuk aktiviti ini. Daripada sejumlah enam masa seminggu, mungkin dua masa digunakan untuk pendekatan ini. Maka tidak perlu kepada kerja rumah.

Semoga cetusan minda ini dapat mengheret kita untuk sama-sama berfikir secara profesional tentang tanggungjawab mendidik yang diamanahkan kepada kita. Selamat maju jaya seluruh warga pendidik.